Angin memasuki ruangan jendela yang terbuka luas. Langsir dijendela mula berkelebat ditiup bayu. Usai solat subuh tadi, Amanda Sophea duduk dibirai katilnya sambil memandang ke luar jendela. Fikirannya menerawang entah ke mana. Bulu romanya mula naik akibat rasa sejuk yang menusuk diri. Namun rasa sejuk pada pagi itu tidak mampu menyejukkan hatinya yang sekian lama dibadai kehangatan rindu yang sekian lama.
‘Hari ini…10 januari. Genap sudah tiga tahun dia pergi. Pada tarikh inilah peristiwa hitam itu terjadi. Peristiwa yang telah meragut nyawa insan kesayanganku dan memisahkan aku dengan dia buat selama-lamanya. Aku takkan lupakan peristiwa itu sampai bila-bila.'
Amanda Sophea menatap kalendar di atas meja tulisnya. Air matanya mengalir lagi. Hari ini adalah hari ulang tahun kematian Fazry Iskandar, lelaki yang pernah menorehkan kesan mendalam di dalam hatinya. Fazry berjaya membuka pintu hatinya untuk pertama kali, walaupun pada hakikatnya dia hanyalah sahabat karibnya. Namun, dalam diam, Amanda Sophea telah menyimpan perasaan terhadapnya selama bertahun-tahun.
Pada masa yang sama, Amanda Sophea tahu bahawa Fazry juga merasakan hal yang sama terhadapnya. Namun, keduanya tidak berani mengungkapkan perasaan masing-masing. Setiap kali mereka bersama, hati mereka mencipta sebuah taman indah yang hanya mereka sendiri yang tahu.
Angin yang membadai diri ini
Takkan dapat mengubati rinduku pada kamu.
Perginya dirimu secara tiba-tiba
Bagai satu gurauan yang tak dapat dihadam hati.
Membuatkan aku tetap tunggu di sini
Menunggu tanpa kesudahan yang tak pasti.
____
Pada pagi itu, Amanda Sophea menziarahi pusara Fazry Iskandar dengan membawa surah yassin bersama air mawar, sebakul kelopak bunga campuran serta sekutum bunga ros putih segar.
Cuaca pada pagi itu redup dan tenang. Amanda Sophea merasakan ketenangan dalam kepiluannya. Sambil membersihkan rumput liar yang mula menjalar di sekitar pusara itu, Amanda Sophea berkhayal sendiri . Bayangan wajah Fazry Iskandar tidak pernah pergi dari hidupnya.
“Fazry.. pusara awak ni dah tak terurus, maafkan saya sebab tak jaga pusara awak dengan baik. Maafkan saya sebab dah jarang ziarah awak.”
Amanda Sophea terus mencabut rumput-rumput liar di sekitar pusara Fazry Iskandar dengan perasaan sebak yang mula menjalar dalam diri. Belakang telapak tangannya menyapu air mata yang mula membasahi pipi gebunya.
Selesai membersihkan pusara Fazry Iskandar, Amanda Sophea membacakan Yassin dan memohon doa kepada tuhan agar roh Fazry Iskandar di tempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Setelah mengaminkan doa. Amanda Sophea terasa dirinya dihampiri seseorang dari arah belakang. Amanda Sophe segera menoleh.
“Dah selesai ?” tanya lelaki yg membelakangi Amanda Sophea.
“Sikit lagi… Maaf buat Aiman tertunggu.”jawab Amanda Sophea dengan wajah yang sugul.
“Tak mengapa.. Sophea teruskanlah. Aiman tunggu dalam kereta ya ?” balas lelaki itu sambil tersenyum seakan mengerti dan berlalu pergi menuju ke kereta.
Aiman Hakimi merupakan tunangan pilihan keluarganya. Sudah hampir setahun mereka mengikat tali pertunangan. Bapa Amanda Sophea adalah pekerja bapa Aiman Hakimi yang pada masa sama merupakan rakan baik sejak dari sekolah menengah lagi. Aiman Hakimi adalah seorang lelaki yang sangat baik dan memahami. Malah terlalu baik untuknya. Oleh kerana kebaikan lelaki itu, Amanda Sophea berasa bersalah kepada Aiman Hakimi kerana tidak dapat membalas perasaan lelaki itu. Dalam hatinya hanya menganggap Aiman Hakimi sebagai seseorang yang dihormatinya kerana telah banyak berbudi pada keluarganya. Dan kerana dalam hatinya masih dihuni oleh insan yang sudah lama tiada. Susah bagi Amanda Sophea untuk menyingkirkan bayangan Fazry Iskandar dihatinya walaupun sudah banyak kali Amanda Sophea melakukannya. Disebabkan itu, Amanda Sophea telah mempersetujui pertunangan yang telah ditetapkan keluarganya, baginya hanya dengan cara itu, Amanda Sophea dapat membalas budi keluarga Aiman Hakimi.
0 apa komen anda ?: